March 27, 2011

Juara Piala Malaysia 2004


klik pada imej untuk paparan terbaik


4 Dis. 2004 - Perlis mencatat sejarah apabila buat pertama kali dalam tempoh 83 tahun menjulang Piala Malaysia 2004 selepas menewaskan jirannya, Kedah 1-0 dalam perlawanan akhir penuh dramatik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini malam ini.

Agak menyedihkan bagi Kedah, gol minit ketujuh itu merupakan gol sendiri akibat kesilapan penjaga gol yang juga ketua pasukan, Megat Amir Faisal setelah terlepas bola lontaran jauh pemain Perlis Adrien Jurad Chamrong.

Ia sekali gus menghancurkan harapan Kedah untuk menjulang piala itu buat kali ketiga selepas menjuarainya pada 1990 dan 1993.

``Saya tidak akan lupa sepanjang hidup saya kesilapan yang berlaku itu.

``Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat negeri Kedah, jurulatih dan rakan sepasukan,'' kata Megat Amir dengan nada sebak kepada pemberita selepas tamat permainan.

Gol tunggal itu sudah cukup untuk membuka lembaran baru kepada skuad Singa Utara selepas kegagalan untuk memenangi sebarang gelaran sebelum ini.

Bagaimanapun, pujian harus juga diberikan kepada Kedah yang membuat beberapa percubaan berbahaya.

Walau pun ketinggalan, Kedah bangkit mengatur serangan yang hampir memperoleh jaringan penyamaan pada minit ke-18 tetapi hampa apabila tandukan penyerangnya, Hasmawi Hassan tersasar. Dia ketika itu hanya berdepan dengan penjaga gol Perlis, Amran Omar.

Tanpa penyerang utama, Akmal Rizal Rakhli yang mengalami kecederaan, Kedah tetap mempamer semangat juang tinggi khususnya pada babak kedua apabila menguasai permainan untuk memaksa Perlis lebih banyak bertahan.

Gandingan penyerang Philimon Chipeta dan Lamin Conteh pula kurang menyerlah untuk menggugat pintu gol Kedah apabila mereka dibayangi pemain tinggi lampai Cornelius Bernard Hugging dan A. Victor.

Singa Utara mendapat kesempatan terbaik untuk menambah gol tetapi Yusri Che Lah yang mendapat hantaran Chipeta sekadar melepaskan rembatan liar pada minit ke-38.

Pencapaian terbaik Perlis itu disaksikan oleh kira-kira 80,000 penonton, terdiri daripada penyokong kedua-dua pasukan yang menghiasi stadium tersebut dengan lautan warna hijau kuning dan biru kuning.

Sebaik sahaja `orang paling penting' dalam perlawanan, pengadil Mat Lazim Awang Hamad meniup wisel penamat, pemain-pemain Perlis terus meraikan kejayaan dengan diiringi kibaran bendera biru kuning daripada penyokong Perlis.

Lebih manis kemenangan itu turut disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putera Jamalullail.

Pesta keraian Perlis bertambah meriah apabila tonggak Perlis kelahiran Kedah, Adrien Jurad diumumkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Stadium menjadi lebih gamat lagi apabila Yang di-Pertuan Agong menyampaikan Piala Malaysia, piala paling berprestij dalam arena bola sepak negara kepada ketua pasukan Perlis, Mohd. Khaironnisam Shahabuddin.

Turut menyaksikan aksi perlawanan akhir itu ialah Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Perlis, Tengku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin.

Kejayaan Perlis itu adalah pencapaian terbaik Perlis yang sebelum ini ialah pernah beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA 2003 tetapi tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan.

Ternyata Perlis di bawah bimbingan jurulatih, Norizan Bakar menunjukkan peningkatan musim ini dengan menduduki tempat ketiga Liga Super berbanding Kedah di tangga tercorot dan akan beraksi dalam Liga Perdana pada tahun depan.

Sebelum melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia, Perlis mencatat keputusan memberangsangkan dalam separuh akhir dengan menewaskan juara Liga Super 2004, Pahang dengan agregat 3-2. Perlis menang 2-0 dalam separuh akhir pertama dan tewas 1-2 pada saingan kedua


0 comments:

Post a Comment